24 October 2008
pertemuan yang sangat bermakna
Sepanjang umur saya hampir 23 tahun hidup di bumi Allah ini, buat kali pertamanya saya rasa malu yang teramat, tersedar betapa 'buta'nya saya sebelum ini, terfikir entah apalah ertinya kehidupan saya sebelum ini. Sebelum saya 'menerima' cahaya hidayah dari-Nya. Bukan beerti saya mahu mendabik dada, mengatakan diri sendiri sudah cukup baik, cukuplah sekadar saya katakan bezanya diri saya dahulu dan sekarang, saya yang kini sudah mampu merasai dan menzahirkan betapa nikmatnya diri hidup dalam islam, hidup sebagai seorang yang islam, dan hidup memperjuangkan islam.
Pada malam yang diberkahi ini, saya dan beberapa orang kawan berpeluang bertemu, berbincang hati ke hati mengenai dua agama- Buddhism dan Islam. Sebenarnya idea ini datang dari kawan kami yang menganut Buddhism ini, dia yang bersungguh-sungguh mahu mengenali islam. Sambil makan-makan (berlaukkan sambal udang dan ayam masak lada hitam beserta air teh blackcurrant + nasi tentunya) kami sama-sama berkongsi kefahaman dan ilmu.
Sungguh, saya kagum dengan kawan saya ini. Lahir dalam agama Kristian, dan sekarang menganut Buddhism, kisah hidupnya yang bersungguh-sungguh mencari kebenaran buat saya rasa terpana. Dia sentiasa berfikir, banyak membaca, berguru hingga ke beberapa tempat, dan sentiasa berusaha untuk mempraktikkan apa yang dia pahami. (dia pun baca al-Quran tau! english translation.. itu dia.. kita bagaimana?)
Jauh benar keadaan dirinya dengan kebanyakan orang yang saya kenal. Kisah bagaimana dia sanggup bertapa di dalam gua selama hampir 6 bulan untuk bermeditasi, pergi ke rumah-rumah anak yatim untuk membuat kebajikan, mengutip derma untuk membuat majlis-majlis yang membawa kebaikan kepada orang lain, segala yang dilakukannya datang dari perasaan yang tulus mahu membawa dan menyebarkan kebaikan kepada semua orang. Alangkah bagusnya andai kita yang mengaku diri kita islam jua buat begini. Malu sungguh saya padanya.
Hampir tergeliat jugalah lidah kami cuba menerangkan islam kepadanya dalam bahasa Inggeris. Cuba menjelaskan dalam ayat yang sebaik mungkin agar tidak timbul salah faham kemudiannya. Pada waktu dan ketika itulah, saya sedar, bahawa memang benar tidak mungkin seseorang itu dapat meyakinkan orang lain tentang indahnya islam itu jika dia sendiri tidak betul-betul menikmatinya. Umpama menikmati sebiji epal, jika mahu diterangkan betapa sedap dan manisnya epal itu, masakan mungkin mampu diungkapkan dengan kata-kata. Cara paling mudah dan paling meyakinkan: bagi saja epal yang manis itu untuk dirasa.
Kami ceritakan konsep di mana di sebalik setiap ciptaan yang kompleks, unik dan mengkagumkan di sekeliling kita, masakan mungkin tidak ada Penciptanya? Sudah tentulah Kuasa yang menciptakan semua ini adalah yang paling berkuasa, Dia yang Esa dan tidak ada yang akan menyerupai-Nya atau menyamai-Nya, dan tidak mungkin juga sebagai Kuasa yang menciptakan kita dan alam semesta ini, sifat-sifat-Nya mampu ditafsirkan dengan kata-kata, apatah lagi memberi rupa dan bentuk pula pada-Nya. Maha suci Allah dari segala yang mereka katakan itu. Kami ceritakan juga tentang Nabi Muhammad sebagai messenger dari Allah, membawa ajaran islam yang syumul untuk kebaikan umat manusia, bukan untuk diri baginda atau untuk sebab-sebab yang lain.
Untuk menerangkan tentang Al-Quran sebagai SUMBER UTAMA RUJUKAN bagi memahami dan mengikuti islam, kami ceritakan analogi tentang 'peti ais dan buku manual'nya. Kalau difikirkan, sudah tentulah bagi orang yang ingin menggunakan peti ais seoptimal mungkin, dia perlu membaca manual yang disediakan oleh pencipta peti ais untuk mengetahui dan memahami cara-cara menggunakan peti ais itu dalam keadaan yang paling sesuai dan kondusif untuknya. Samalah halnya dengan kita manusia, untuk mengetahui cara hidup yang sepatutnya dan sebaik-baiknya (iaitu islam), mestilah kita kena membaca manual yang disediakan oleh Pencipta kita- iaitu Al-Quranul Karim, ayat-ayat suci yang diturunkan oleh Al-Khaliq. Kami ceritakan juga padanya tentang bukti-bukti kesahihan al-Quran, bagaimana ayat yang secantik, seindah, dan sehalus bahasanya itu tidak mungkin mampu ditulis oleh manusia, apatah lagi oleh Nabi Muhammad s.a.w yang ummi (tidak tahu membaca dan menulis). Kami ceritakan apa yang ada di dalam al-Quran: dari ayat-ayat yang saintifik tentang penciptaan manusia, kisah kehidupan manusia dari bayi-muda-tua dan nyanyuk, pergaulan manusia, suami isteri, anak dan ibu bapa, bagaimana cara yang sepatutnya orang islam melayan dan berinteraksi dengan penganut agama lain, hinggalah ke kisah penciptaan alam.
Banyak juga isi perbincangan kami. Menyentuh dari kisah Genghis Khan membuang buku-buku Baitul Hikmah ke dalam sungai Tigris dan Euphrits semasa menewaskan kerajaan Abbasiyah, kisah penemuan-penemuan penting di dunia yang sebenarnya ditemui oleh ilmuan-ilmuan Islam, hinggalah ke Syiah dan Sunni.
Saya berharap dan hanya mampu mendoakan dia jumpa 'cahaya' yang dicari-cari selama ini. Saya juga berharap agar saya dapat berjumpa lebih ramai lagi orang-orang yang seperti ini. Orang yang hidupnya bukan sekadar seperti robot- tidak tahu arah tujuan, hidup sekadar memuaskan nafsu dan keperluan hidup semata. Biarlah dengan bertemunya saya dengan mereka, saya jadi lebih bersyukur Allah kurniakan islam kepada saya dengan mudahnya (berbanding dengan mereka), dan semoga dengan itu, saya lebih berusaha dalam mempertahankan islam di dalam diri saya dan di dalam dunia ini, insya-Allah. Amin ya Rabbal Al'amin.
# An-Naml:64 - bukankah Dia (Allah) yang menciptakan (makhluk) dari permulaannya, kemudian mengulanginya (lagi) dan memberikan rezeki kepadamu dari langit dan bumi? Apakah di samping Allah ada tuhan yang lain? Katakanlah, "kemukakanlah bukti kebenaranmu, jika kamu orang yang benar."
...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Bagus ni. teruskan berdakwah. maknenye lps ni kene mendalamkan ilmu tentang Islam. nnt org tanye sng nak jawab.
Post a Comment